SEREMBAN - “Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Saya pun dah dapat semula duit deposit,” kata Sarifah Malek, 53, yang sebelum ini berdepan pengalaman pahit apabila pak andam diupahnya menghilangkan diri beberapa jam sebelum majlis akad nikah anaknya berlangsung.

Menurut Sarifah, pak andam berkenaan sudah menyerahkan wang sebanyak RM3,600 yang dibayarnya sebelum ini dalam satu majlis perjumpaan diadakan di Balai Polis Paroi, di sini, Ahad lalu.

Pada masa sama, katanya, mereka juga saling bermaaf-maafan dan sedia menamatkan persengketaan serta menarik balik kenyataan dibuat dalam laman sosial berhubung insiden itu.

“Tiada lagi perasaan geram dan marah yang disimpan dalam hati kerana semuanya sudah dileraikan dengan baik. Lagipun saya pun tak berhasrat untuk memanjangkannya lagi.

“Mungkin bagi sesetengah orang jumlah RM3,500 itu sedikit, tapi tidak bagi saya yang hanya berniaga secara kecil-kecilan,” katanya di sini, semalam.

Sarifah bagaimanapun berkata, kejadian yang dihadapinya itu diharap dapat dijadikan iktibar semua pihak sama ada mereka yang menyediakan perkhidmatan atau mereka yang menjadi pelanggan.

Menurutnya, apa sahaja masalah boleh diadakan perbincangan berbanding mengambil tindakan menghilangkan diri.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pak andam lesap sebelum majlis]

“Walaupun ia menjadi pengalaman pahit buat saya, tapi saya bersyukur semuanya telah selesai. Apa-apa pun terima kasih kepada Sinar Harian dan semua pihak yang membantu,” katanya.

Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan impian seorang ibu untuk melihat majlis perkahwinan anak bongsunya berjalan dengan meriah berkecai, akibat perbuatan pak andam diupahnya.

Suasana majlis menjadi kelam kabut apabila pak andam diupah menghilangkan diri beberapa jam sebelum majlis berlangsung.

Malah, pakej perkah-winan berharga RM5,000 ditawarkan meliputi tiga pasang persalinan dengan solekan, pelamin serta hiasan meja pengantin hanya indah khabar dari rupa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :