PORT DICKSON - Seorang nelayan yang juga orang kurang upaya (OKU) menganggap dirinya sangat bertuah apabila seekor ikan pari harimau seberat 120 kilogram (kg) tersangkut pada jaringnya di perairan Chuah berhampiran Pengkalan Nelayan Kuala Lukut sekitar jam 11.30 pagi tadi.

Rahim Omar, 54, yang kudung kaki kanan berkata, sepanjang 30 tahun lebih dia menjadi nelayan ini adalah kali pertama berjaya menaikkan ikan sebesar dan seberat itu.Q

Bapa kepada lima anak ini berkata, dia turun ke laut jam 11 pagi bersama menantunya Amirul Arshidi Mohd Kasar, 25, untuk memeriksa jaring yang dipasangnya pada malam sebelum itu.

"Tengok jaring dalam keadaan tenggelam dan terfikir mesti ada banyak ikan, rezeki hari ini.

"Masa angkat jaring tu, memang terkejut rupa-rupanya ikan pari besar yang tersangkut," katanya.

Rahim yang juga ahli Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson berkata, dia bersama menantunya mengambil masa sekitar 15 ke 20 minit untuk menarik jaring dan ikan pari tersebut ke bot fibernya bersaiz sekitar lima meter panjang.

"Ikan ini saya potong dan jual sendiri di pengkalan ini, jual di sini (pengkalan nelayan) harga RM20 sekilogram.

"Sehari juga nak menghabiskan ikan ni untuk di jual," katanya sambil memaklumkan dia memperoleh sekitar RM2,000 hasil daripada jualan 100kilogram ikan tersebut.

Rahim menambah, selebihnya, ikan itu di bawa balik dan di beri kepada rakan-rakannya.

"Kalau nak diikutkan kawasan itu bukanlah lubuk ikan pari.

"Tapi dah ditetapkan olehNya ini rezeki untuk saya sekeluarga," katanya.

Gambar Rahim bersama ikan pari 120kg itu tukar di media sosial sejak semalam.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SABAK BERNAM - Sumbangan nelayan terhadap industri perikanan negara tidak dapat disangkal kerana mereka antara aset terpenting dalam meningkatkan ekonomi negara.
  • PASIR PUTEH - Enam nelayan warga Thailand berjaya diselamatkan manakala seorang dilaporkan hilang selepas bot yang mereka naiki karam di Kuala Tok Bali di sini, hari ini.
  • BUTTERWORTH - Beberapa nelayan di sekitar Seberang Perai Utara menagkui hasil tangkapan semakin kurang sejak kebelakangan ini yang mengakibatkan harga ikan terutama ikan kembung melambung tinggi.
  • PULAU CAREY - Sesuai dengan nama, itulah yang boleh digambarkan kepada seorang nelayan Kampung Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey , Selamat anak Ikin,42, ketika ditemui di rumahnya hari ini.