SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memberi tumpuan kepada mewujudkan peluang pekerjaan dan perindustrian dalam pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV), kata Menteri Besar Aminuddin Harun.

Beliau berkata, kalau dulu kerajaan negeri mengutamakan projek perumahan dan Keretapi Laju Kuala Lumpur–Singapura (HSR), tetapi hari ini pelaburan harus ada bersama dengan perindustrian untuk meningkatkan lagi pembangunan di MVV tersebut.

"Bagi kami komponen ini penting kerana ia akan mempercepatkan lagi pembangunan MVV. Kita yakin dengan langkah ini ia akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

"Mewujudkan pekerjaan itu lebih penting kerana ia selari dengan hasrat dan keperluan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri menyasarkan industri berteknologi tinggi yang akan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Katanya, kawasan perindustrian seluas 1,215 hektar akan dibangunkan berhampiran Nilai, di mana 405 hektar akan dibangunkan pada peringkat pertama.

"Kita sedang menunggu pelaburan sebanyak RM2 bilion dari Foshan, China di mana empat atau lima buah kilang akan didirikan di kawasan MVV yang melibatkan industri pembinaan. Memorandum persefahaman akan dimeterai di China hujung tahun ini," katanya.

Sementara itu, katanya, jalan baharu dari Nilai ke Bandar Enstek sedang dibina dan ini akan mempercepatkan pembangunan di kawasan tersebut.

Pelan pembangunan 30 tahun MVV meliputi kawasan Nilai, Seremban dan Port Dickson.

Ia merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan mewujudkan kawasan pembangunan baharu dengan lebih terancang di Negeri Sembilan yang memberi impak ekonomi dan sosial kepada penduduk.

MVV akan dipacu sepenuhnya oleh pihak swasta dan Sime Darby Property melalui MVV Holdings Sdn Bhd akan menjadi pemaju utama .

Pelan pembangunan komprehensif MVV bagi tempoh 30 tahun berasaskan Rancangan Fizikal Negara yang telah meletakkan MVV dalam 17 kawasan Zon Promosi Pembangunan dan Rancangan Struktur Negeri.

Pembangunan ini dijangka menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negara bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan. - Bernama