SEREMBAN - "Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan merekodkan 2,480 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dari awal Januari sehingga hari ini," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.

Beliau berkata, jumlah kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 273.5 peratus berbanding 664 kes pada tempoh yang sama, tahun lepas.

“Taburan kes HFMD mengikut daerah setakat ini adalah 1,698 kes di daerah Seremban, Port Dickson (210), Jempol (192), Kuala Pilah (127), Rembau (109), Jelebu (83), dan 61 kes di Tampin.

Pada minggu ke-36 , bilangan kes HFMD dilaporkan di negeri ini adalah sebanyak 51 kes menunjukkan peningkatan lima kes berbanding dengan kes dilaporkan pada minggu ke-35 dan terdapat sebuah prasekolah masih ditutup iaitu PASTI Asy-Syafe'e Wa Tahfiz di Kg Jijan, Labu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, bagi kes demam denggi sebanyak 986 kes direkodkan di negeri ini dari Januari sehingga Sabtu lepas.

Daripada jumlah itu, 767 kes dilaporkan di daerah Seremban, Port Dickson (56), Jempol (52), Tampin (45), Kuala Pilah (23), Rembau (22), dan 21 kes di Jelebu.

"Jumlah kes itu menunjukkan penurunan sebanyak 1,578 kes berbanding 2,564 kes pada tempoh yang sama, tahun lepas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes MFMD di Negeri Sembilan turun]

Jumlah kumulatif kes kematian denggi di negeri ini sehingga Sabtu lepas sebanyak satu kes, berbanding 11 kes pada tempoh yang sama bagi 2017," katanya

Veerapan berkata lokaliti wabak masih aktif sehingga Sabtu lepas ialah 11 lokaliti, dengan kesemuanya di Seremban.

"Oleh kerana bilangan kes kumulatif yang tinggi, maka aktiviti pencegahan dan kawalan dipergiatkan lagi pada masa ini dengan menjalankan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes.

"Selain itu aktiviti 'larviciding' (memusnahkan larva), semburan pengasapan, Ops Gempur Aedes, promosi kesihatan dan gotong-royong membersihan kawasan perumahan yang melibatkan masyarakat," katanya. - Bernama