KUALA PILAH – Lima beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata akibat kehilangan kedua ibu bapa dalam kemalangan jalan raya pada 10 Ogos lalu di Kilometer 10 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, tidak ‘keseorangan’ kerana seluruh ahli kariah sentiasa mengambil berat kedaan mereka.

Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Negeri Sembilan, Datin Rafidah Mohd Attas berkata, pada situasi sekarang, kesemua anak-anak ini memerlukan sokongan moral daripada semua pihak bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita memahami pada situasi sekarang ramai masyarakat di luar sana yang bermurah hati menghulurkan bantuan wang serta keperluan makanan. Namun itu belum mencukupi bagi mereka untuk menghadapi kehidupan mendatang.

“Apa yang lebih penting ialah memulihkan emosi mereka terutama adik-adik yang terkesan dengan tragedi hitam yang menghantui mereka,” katanya pada Program Bacaan Yasin Perdana, di Masjid Kariah Desa Anggerik, baru-baru ini.

Menurutnya, sokongan moral semua pihak perlu sentiasa berterusan kerana perlu bekerjasama memikul tanggungjawab ini.

“Anak-anak ini masih bersekolah. Jadi guru juga perlu menggunakan kepintaran mereka untuk memulihkan semangat anak-anak ini.

“Manakala persekitaran mereka pula seperti ahli kariah perlulah bekerjasama berganding bahu, mengambil berat keperluan lima beradik ini seperti mana WI Negeri Sembilan terpanggil untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Ujarnya, pada program ini juga kutipan derma kilat turut dilaksanakan dan memperoleh sebanyak RM670, yang kemudian didermakan kepada anak kedua mangsa, Mohd Aqmarul Hisham, 19.

Sementara itu, Mohd Aqmarul Hisham yang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, berterima kasih kepada semua pihak yang sudi menghulurkan sumbangan.

“Sumbangan ini boleh kami gunakan untuk mengurangkan beban saya serta adik beradik yang lain yang kesemuanya masih menuntut,” katanya.

Jelasnya, kakak sulungnya, Nur Sharmilatul Akhma Azizan, 20, masih menuntut di tahun pertama di Universiti Malaysia Kelantan, manakala tiga lagi adik iaitu Mohd Amirul Aiman, 17, Mohd Aidil Adli, 15, dan Nur Fazlul Ain, 12, masih bersekolah dan bakal menghadapi peperiksaan tahun ini.

Hadir sama Adun Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Desa Anggerik, Razak Abdullah; Pegawai  Kebajikan Masyarakat daerah, Mohamad Affendy Mat Sani dan Pengerusi Kariah Desa Anggerik, Mohd Rusli Ibrahim.

Terdahulu, pada 11 Ogos, Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri, Azizan Sahari, 42 dan Norbaiti Awang, 44, maut apabila motosikal Yamaha Ego yang dinaiki mereka dihempap dua tayar lori yang tercabut jam 10 pagi.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini, boleh menyalurkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) Giro 0510-4410-0004-4545 atas nama Nur Shamilatul Akhma.