SEREMBAN – Kerajaan PH dilihat seolah-olah mempersenda rakyat apabila mengumumkan hanya mampu memberi gaji minimum RM1,050.

Ketua Wanita Umno Negeri Sembilan, Lateffah Ali mendakwa, apa yang dijanjikan mereka dalam menifesto PRU14 lalu tak sama seperti yang direalisasikan.

"Jangan disebabkan sudah berkuasa, sesuka hati mahu menipu rakyat yang telah beri kemenangan pada PH pada pilihan raya lalu.

"RM50 itu nak bayar duit minyak sebulan pun tak lepas," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, aktivis belia, Ammielyya Jusnieza Ahmad Jafri, 26, mendakwa kerajaan sengaja buat lawak apabila menetapkan gaji minimum RM1,050.

"Dalam manifesto cakap nak bagi RM1,500 tiba-tiba naik RM50 saja. Bagi saya ia memang kelakar dan tak masuk akal.

"Alasannya sebab masalah hutang negara tapi negara luar banyak yang cakap pembangunan ekonomi negara kita berada pada landasan baik," katanya.

Katanya,  kenapa kerajaan BN dulu boleh bayar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga RM1,000 tetapi kenapa PH hanya boleh beri kenaikan gaji minimum RM50 sahaja?

"Kadar RM50 yang ditetapkan langsung tidak memberi apa-apa kesan dalam meringankan beban rakyat.

"Bagi saya kredibiliti seseorang pemimpin itu boleh dipersoalkan bila apa yang disampaikan tak sama seperti apa yang dilaksanakan," katanya.

Terdahulu, kerajaan setuju menyeragamkan kadar gaji minimum di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebanyak RM1,050 sebulan dan RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Pejabat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perintah gaji minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.