MELAKA TENGAH - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM), Badrul Hisham Badrudin menafikan wujud salah guna kuasa, ketirisan dan penyelewengan seperti mana yang dilaporkan beberapa akhbar baru-baru ini.

Beliau yang telah berkhidmat selama hampir lima tahun sebelum ditamatkan perkhidmatan pada 31 Mei lalu, menjelaskan tanggapan berkenaan syarikat audit dan laporan meragukan adalah bersifat spekulatif.

“Syarikat audit dalaman untuk PBM dan Melaka Biotechnology Holdings Sdn Bhd (MBH) dilantik kerajaan negeri bagi tujuan memastikan kesemua akaun dan laporan dibuat dengan tepat dan telus.

“Syarikat-syarikat audit ini bukan saya yang melantik, ia juga akan digantikan setiap tahun bagi menjaga integrity accountability. Justeru itu kewibawaan dan profesionalisme menyediakan laporan tidak perlu dipertikaikan,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee pada 3 dan 4 Julai lalu, tentang berlakunya penyelewengan dan ketirisan wang di salah satu anak syarikat milik kerajaan negeri sehingga terpaksa menanggung hutang dengan jumlah yang banyak.

Jelas Badrul Hisham, sebelum menerajui PBM dan MBH, organisasi tersebut bersifat pasif dan hambar malah dari awal penubuhan pada 2005, kedua-dua entiti itu tidak mendatangkan hasil dari segi pengkormersilan, tiada jenama, tiada keuntungan dan mengalami kerugian.

“Alhamdulillah, penstrukturan semula telah saya laksanakan dari segi profesionalisme, komersialan, penjenamaan, meluaskan skop makmal-makmal (Chemistry, Microbiology, Toxicology dan Molecular) supaya dapat kami memberi perkhidmatan kepada industri.

“Saya berpendapat lebih baik jika pelapor terlebih dahulu memanggil saya berjumpa dan berbincang tentang PBM, MBH dan MBSL kerana perkongsian itu sudah pasti mendapat gambaran dan penerangan yang lebih jelas.

“Saya tahu dan arif tentang semua tingkah laku pegawai saya, mana yang bagus, mana yang cuai dan mana yang perlu diberi dorongan.

“Tidak adil kepada saya kerana tidak diberi kesempatan memberi taklimat atau penyerahan tugas dan pelapor hanya mendengar dari satu pihak sahaja,” katanya.