MELAKA - Kerajaan negeri Melaka hari ini menafikan tentang kewujudan bonus Bantu Rakyat Melaka (BRAM) sebanyak RM750 kepada rakyat yang berumur antara 16 hingga 55 tahun dilahirkan di Melaka, yang tular di laman sosial.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar berkata ia adalah satu fitnah kerana kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang bayaran selain daripada bonus Aidilfitri yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan yang diguna pakai untuk penjawat awam yang bernilai RM500 sebelum ini.

"Ini merupakan satu bentuk  tohmahan dan fitnah... berita tersebut adalah tidak benar dan fitnah semata-mata," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati tentang berita yang tidak sahih dan mendapatkan berita daripada saluran yang betul ataupun boleh merujuk kepada Jabatan Ketua Menteri untuk pengesahan.

Naim berkata, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh hari ini berhubung berita palsu itu untuk  siasatan dan tindakan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau menafikan pernah membuat pengumuman tentang pemberian BRAM sepertimana yang tersebar di laman sosial.

"Fitnah ini mungkin dianggap sebagai gurauan tetapi ia telah menjejaskan imej saya dan kerajaan negeri Melaka.

"Saya harap mereka yang menyebar mesej ini supaya segera menghentikannya kerana ia menyusahkan rakyat dan kepada mereka yang menerimanya supaya mengabaikan fitnah ini," katanya.

Idris berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan berhubung fitnah yang menjadi tular itu. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ketirisan dan rasuah dalam kegiatan judi haram memberikan kesan besar apabila kegiatan itu dilihat semakin sepi di negeri ini, Persidangan Dun Melaka diberitahu hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.