SEREMBAN - Pelawak, pelakon dan pengacara, Nabil Ahmad dipilih sebagai duta Rumah Ngaji Negeri Sembilan sempena Pelancaran My Family#QuranHour ‘Rahsia Luqman’ Interaksi Surah Luqman di Bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), di sini, semalam.

Majlis disempurnakan isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Datuk Salbiah Tengku Nujumuddin selaku Yang Dipertua Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat (NSWO) serta Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti).

Raja Salbiah dalam ucapannya berkata, pihaknya bangga dengan komitmen diberikan Rumah Ngaji Negeri Sembilan yang dilihat sangat aktif sehingga menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri pertama melancarkan program MyFamily#QuranHour.

“Syabas diucapkan kepada semua pasukan yang mengerakkan aktiviti Rumah Ngaji di Negeri Sembilan selari dengan kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa menerapkan modal insan berkualiti. Ini sebagai satu fenomena baru dalam negara, di mana berjaya memberangsang serta mengajak seluruh umat Islam kembali membaca al-Quran,” katanya.

Salbiah juga berharap Nabil yang merupakan anak watan Negeri Sembilan dapat menarik golongan muda untuk kembali mendekatkan diri dengan membaca dan menghayati al-Quran.

Beliau berkata, pemilihan Nabil dianggap sebagai ikon yang boleh membantu mengerakkan lagi aktiviti membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat, khususnya anak-anak muda.

Sementara itu, Nabil ketika ditemui berkata, beliau rasa bertuah dengan pelantikan sebagai duta Rumah Ngaji Negeri Sembilan.

Menurutnya, pelantikan tersebut diharap dapat dijadikan sebagai salah satu platform buatnya berhijrah menjadi yang lebih baik.

“Saya tidak malu mengatakan yang saya tidak tahu mengaji kerana itu akan membuatkan saya untuk terus belajar dan terus belajar sehingga berjaya.

“Usaha saya untuk belajar mengaji sentiasa ada, malah saya pernah mengupah seorang guru datang ke rumah untuk mengajar saya dan keluarga mengaji.

“Alhamdulillah, walau pun masih di peringkat belajar dan mengenal al-Quran, namun saya tidak pernah segan untuk belajar, kerana kunci kejayaan itu adalah belajar, selagi kita terus belajar perkara yang pada mulanya kita anggap susah akan menjadi mudah,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas Yayasan WUI, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, membaca al-Quran itu adalah sebagai salah satu pegangan untuk membentuk jati diri yang lebih baik, cemerlang dunia dan akhirat.

Menurutnya, didikan ibu bapa dalam keluarga yang berteraskan al-Quran sudah pasti dapat membentuk anak-anak berkualiti, sekali gus mengelakkan masalah sosial yang kerap berlaku dalam kalangan anak muda.

MyFamily#QuranHour merupakan salah satu kempen untuk mengajak setiap ahli keluarga membaca dan menghayati al-Quran secara bersama di rumah, sekurang-kurangnya selama sejam bagi mendapatkan keberkatan yang lebih daripada ALLAH SWT.

Hadir sama, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad; Setiausaha Mains, Kamal Amran dan Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KERAYONG - Amalan membaca al-Quran sepanjang Ramadan seolah-olah satu budaya dalam kalangan umat Islam untuk mengejar pahala beramal pada bulan mulia itu namun sebenarnya kitab suci itu perlu dibaca sepanjang masa bukannya bermusim.
  • TUMPAT - Penggerak Rumah Ngaji Kampung Padang Mandol akan meneruskan usaha Allahyarham ibunya bagi memartabatkan al-Quran.
  • PUTRA HEIGHT - Program Tadabbur Tazakkur Surah Al-Mulk bersempena Majlis Khatam Quran mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai kira-kira 100 muslimat sekitar Putra Height.
  • PORT DICKSON - Penganjuran Port Dickson (PD) QuranHour di Pantai Batu 1, di sini mengupas ayat-ayat al-Quran merujuk mengenai kasih sayang.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.