ROMPIN- Bayi lelaki berusia dua minggu bersama ibunya , 20-an, antara yang terselamat daripada kebakaran membabitkan kediaman mereka di Kampung Orang Asli Batu Peti, pagi semalam.

Menurut nenek mangsa, Hema Nokteh, 43, ketika kejadian anak dan cucunya sahaja di lokasi dan keluarganya bersyukur kedua-duanya selamat.

“Anak saya dalam pantang, mujur mereka sempat keluar. Dia sempat bawa sekeping lampin pakai buang bayinya sahaja, dokumen lain-lain tidak sempat diselamatkan.

“Sebelum kejadian, anak saya ternampak asap keluar di dalam rumah, kemudian terdengar bunyi seperti meletup,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dalam kejadian sekitar 9.30 pagi itu, dia bersama ahli keluarga lain keluar bekerja dan dimaklumkan mengenai kejadian oleh ketua kampung.

“Siapa yang tidak terkejut dan buat sementara waktu, kami membina pondok bersebelahan kediaman tersebut. Di pondok itulah kami tinggal buat ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut turun padang menyampaikan bantuan dan wakil daripada MIC Cawangan Taman Awana Indah.