PORT DICKSON - Pemilik tanah lot kawasan penternakan babi (PFA) di Tanah Merah Site A dan Bukit Pelandok mengemukakan permohonan menukar status tanah dan pengurangan bayaran premium tanah daripada kerajaan negeri.

Ketua MCA Bahagian Telok Kemang, Datuk Seri Dr Lim Chin Fui berkata, pemilik tanah berstatus PFA itu memohon penukaran status tanah kepada tanah perindustrian.

Menurutnya, pemilik tanah itu melalui Persatuan Penternak Negeri Sembilan tampil secara sukarela mahu mengubah status tanah.

“Persatuan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menghubungi pemilik tanah dan sehingga kini 90 orang berjaya dihubungi iaitu sekitar 70 peratus daripada keseluruhan pemilik tanah," katanya.

Chin Fui berkata, pemilik tanah juga memohon agar kerajaan negeri menurunkan bayaran premium tanah semaksimum mungkin bagi meringankan beban tuan-tuan tanah.

“Dijangka bayaran premium tanah pertukaran status dari tanah PFA kepada tanah perindustrian adalah tinggi,” katanya.

Menurutnya, kesemua pemilik tanah yang dihubungi persatuan setuju menukar status tanah tersebut.

“Rata-rata pemilik tanah kini mengusahakan tanah PFA itu dengan pertanian, menanam pokok buah naga, kelapa sawit dan kelapa malah ada juga yang dibiarkan begitu sahaja.

“Oleh kerana PFA terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan juga terletak dalam kawasan rancangan MVV (Malaysia Vission Valley) semua tuan tanah mempunyai persefahaman bahawa tanah tersebut tidak lagi sesuai untuk aktiviti penternakan babi dan berharap dapat ditukarkan status kepada tanah perindustrian supaya tanah tersebut lebih bernilai dan dapat digunakan," katanya.

Chin Fui menambah, mana-mana pemilik tanah yang masih belum dihubungi oleh Persatuan Penternak Negeri Sembilan berkaitan hal ini boleh tampil menghubungi wakil mereka di talian 019 6202667 (Tan Hing Tin) dan 012 299 3295 (Teo Sai Ho).

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat MCA di Bukit Pelandok,  semalam.

Tanah seluas hampir 130 hektar itu sebelum ini merupakan kawasan penternakan babi namun akibat kejadian virus Nipah pada 1999 yang mengakibatkan kematian 108 orang, kawasan itu telah ditutup dan penternak tidak dapat lagi membangunkan semula aktiviti ternakan babi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor meluluskan permohonan 146 penduduk perkampungan di Permatang Kempas, di sini untuk mendapatkan hak milik tanah didiami.
  • ALOR SETAR - Kerajaan negeri telah mengenal pasti sebanyak 229 daripada 573 kawasan tanah masjid di negeri ini yang status tanahnya masih bukan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), persidangan Dun diberitahu hari ini.
  • TUMPAT - Pembinaan rumah di penempatan baharu bagi 13 keluarga yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk Projek Kampung Warisan Pelancongan di Kampung Laut dijangka siap pada Oktober ini.
  • PARIT - Bukan sahaja berani menceroboh tanah kerajaan malahan lebih berani dengan menanam pokok ketum yang dipercayai boleh mendatangkan pulangan lumayan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.