SEREMBAN - Majlis Perbandaran Seremban (MPS) diminta membuat permohonan peruntukan segera daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Pasar Besar Seremban yang terbakar Sabtu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bagi memastikan kerja penyelenggaraan dan membaik pulih dapat dilakukan secepat mungkin sekali gus membantu para peniaga menjalankan aktiviti perniagaan di situ seperti biasa.

“Kita tidak tahu lagi anggaran peruntukan segera untuk kerja-kerja tersebut. Pihak bomba akan meneliti kerugian yang dialami dan anggaran kos kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf tersebut akan dibuat oleh MPS.

“Kawasan kebakaran di tingkat atas itu kini ditutup selama dua minggu bagi membolehkan pihak bomba menjalankan siasatan forensik untuk menentukan punca kejadian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Pusat Komuniti Taman Marida, Senawang di sini, kelmarin.

Hadir sama, Adun Paroi, Mohd Ghazali Wahid, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Yang Dipertua MPS, Datuk Abd Halim Abd Latif.

Selain itu beliau turut menasihatkan kepada para peniaga supaya menjadikan insiden itu sebagai iktibar dengan tidak bersikap sambil lewa terhadap soal keselamatan.

“Saya difahamkan banyak penyambungan yang tidak diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dibuat secara berleluasa di situ. Ini boleh mengundang kejadian tidak diingini,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau mengucapkan takziah di atas kemangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

“Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Penduduk Rumah Pangsa Rasah Jaya, di sini, memohon bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) membersihkan rumah pangsa berkenaan berikutan keadaan persekitaran yang kotor.
  • MANTIN - - Rumah seorang Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang terletak di Taman Desa Mantin, dekat sini dibaling bom petrol buatan sendiri oleh individu tidak dikenali, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.