BUKIT BARU - “Saya agak terkejut bila Datuk Abu Bakar (calon Dun Paya Rumput), beritahu saya pernah menyatakan akan tarik diri jika bertanding sama dengan dia sedangkan empat tahun lalu saya masih dalam Umno dan Bersatu belum ditubuhkan lagi,” kata calon Bersatu bagi Dun Paya Rumput, Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mohd Rafiq berkata, beliau menafikan bahawa pernah mengeluarkan kenyataan akan menarik diri dari bertanding pada PRU14 dan walaupun calon BN kerusi itu Datuk Abu Bakar Mohd Diah meletakkan keyakinan yang tinggi namun belia sebagai pendatang baharu tidak mahu terlalu berkeyakinan selain mengakui mempunyai hubungan yang baik dengan individu itu.

Menurutnya, ketika itu (empat tahun) lalu, beliau masih lagi Exco Pemuda Umno Malaysia dan tidak pernah terfikir dan merancang untuk keluar Umno selain menyelar tidak logik berlaku pertembungan di antara Umno dengan Umno.

“Saya hairan dan pelik kenapa beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian, dan saya anggap ini adalah kenyataan ‘fakenews’,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rafiq berkata, walaupun menganggap ia sebagai cabaran memandangkan Datuk Abu Bakar antara calon BN yang popular dan mendapat sokongan di negeri ini, namun mendakwa peletakan Abu Bakar di Dun itu sebenarnya kerana Ketua Melaka, Datuk Seri Idris Haron mahu berselindung di sebalik aura dan kekuatan yang ada pada Abu Bakar.

Menurutnya, sudah pasti pengundi juga sedia maklum bahawa satu undi untuk Abu Bakar sebenarnya undi untuk Idris Haron dan beliau tidak mungkin menjadi Ketua Menteri kerana calon Ketua Menteri sudah pasti kekal di tangan Idris Haron.

“Beliau telah diturunkan pangkat, daripada Timbalan Menteri ke kerusi Dun dan saya rasa orang Melaka faham... Saya melihat kedudukan beliau adalah strategi BN.

“Secara peribadi saya tak mahu terlalu yakin dan saya terima kenyataan beliau itu yang mampu menang mudah di kerusi itu,” katanya.