BANDARAYA MELAKA - Seorang wanita merayu bantuan orang ramai bagi mencari ibu kandung kepada anak lelaki tirinya, Mohammad Irfan Faris Abdullah, 9, yang dipeliharanya sejak kecil.

Hamidah Ali, 42, berkata, Mohammad Irfan diserahkan ketika masih bayi kepada suaminya, Abdul Basir Arasa, 49, selepas berpisah.

“Ibunya, Mudzma Abdul Moin, yang berusia 43 tahun, berasal dari Sabah.

"Sejak dilahirkan, urusan dokumentasi kelahiran Mohammad Irfan tidak dapat dilakukan kerana perkahwinan suami tidak didaftarkan biarpun kedua mereka adalah warganegara (suami dan bekas isteri).

“Pelbagai usaha sudah dilakukan saya suami isteri dan kenalan untuk menjejak ibu kandungnya untuk urusan itu (dokumentasi anak) tetapi sehingga kini masih buntu,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Sungai Udang di sini, hari ini.

Menurutnya, disebabkan masalah itu anak tirinya tidak bersekolah sejak tahun satu.

Bagaimanapun, Mohammad Irfan baharu sahaja memulakan sesi persekolahan di tahun tiga awal tahun lalu di atas pertimbangan dan keperihatinan Jabatan Pendidikan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kasihan juga saya disebabkan tiada kad pengenalan diri, jadi susah sedangkan dia begitu bersemangat nak bersekolah dan saya nampak dia ada potensi dalam pelajaran.

“Sebab itu saya tetap berusaha sehingga pihak sekolah dan jabatan pendidikan beri kelulusan kebenaran belajar kepada anak saya di Sekolah Kebangsaan (SK) Tangga Batu, bagaimanapun perlu kemas kini setiap enam bulan sekali,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah firma swasta di Ayer Keroh berkata, mengikut rekod akhir JPN, ibunya kini berada di sekitar Selangor.

“Mengikut rekod akhir JPN tahun lalu, dia beralamat di Selangor bagaimanapun dengan kekangan kewangan dan kenderaan sukar buat kami menjejaknya hingga ke sana.

“Jadi saya merayu dan pohon orang ramai yang mengenali Mudzma supaya dapat membantu mengesannya bagi membolehkan proses mendapatkan kad pengenalan diri Mohammad Irfan dilakukan di JPN, katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Mudzma boleh menghubunginya di talian 011-26568791 ataupun rakannya, Zarina di talian 010-773 3950.