SEREMBAN - Mereka bukan sesiapa, tetapi sanggup bersusah payah mencari dan mengumpul dana bagi meringankan kesusahan rakyat di negara luar dan kini dalam misi ke Syria dijangka Disember ini.

Usaha dilakukan Persatuan Briged Negaraku itu bukan bermakna mereka tidak cakna dengan sebahagian rakyat di negara ini yang juga memerlukan bantuan, tetapi mahu memanjangkan mesej kesukarelawan yang sebenarnya tiada sempadan.

Pengerusinya, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, misi ke Syria kali ini kerana mengenangkan kehidupan pelarian di sana yang akan berhadapan dengan musim sejuk tidak lama lagi.

Khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma di negara ini.

“Semestinya penduduk di kem pelarian berkenaan bukan sekadar memerlukan bantuan makanan dan keperluan musim sejuk, tetapi pada masa sama pasukan perubatan memandangkan keadaan cuaca begitu mudah terdedah dengan penyakit.

“Kami pula ada pasukan perubatan khas dikenali sebagai Medical Relief yang kini mempunyai doktor seramai 30 orang dan apalah salahnya khidmat kami dikongsi di sana.

“Bukannya tiada khidmat klinik bergerak dan doktor di sana, tapi keperluannya sangat tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Bawa guru dan kaunselor

Beliau menegaskan yang  kerja kesukarelawan dilakukan mereka bukan sekadar tertumpu di negara luar sahaja.

Menurutnya, sejak persatuan itu ditubuhkan November tahun lalu, sebanyak 1,000 rumah golongan kurang bernasib baik dikunjungi bagi menyampaikan sumbangan dan 5,000 menerima pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Di sana bantu dan di sini pun bantu. Tapi melihat keadaan yang akan dihadapi di kem pelarian Syria ini, apalah salahnya kita hulurkan bantuan.

“Kami juga akan bawa beberapa orang guru dan kaunselor untuk menyuburkan sedikit aktiviti bersesuaian untuk anak-anak di sana,” katanya.

Aktivis Briged Negaraku seronok bermesra dengan kanak-kanak di Pusat Pemindahan Lombok.

Khairul Nizam berkata, semua itu dilakukan dengan niat mahu menyemarakkan lagi semangat kesukarelawan sekali gus membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, dengan pengalaman dalam bidang masing-masing, semua aktivis dapat melengkapi antara satu sama lain dan berbincang mengenai aspek tugasan bergantung pada jenis program dianjurkan.

"Bagi mereka yang ingin membantu kami menjayakan misi bantuan perubatan dan keperluan musim sejuk pelarian Syria, boleh salurkan kepada nombor akaun Briged Negaraku 111121008732 (Bank Rakyat)," katanya.

Untuk rekod, mereka juga sebelum ini ke Kem Pelarian Rohingya di Cox Bazar, Bangladesh bagi menyampaikan sumbangan pada Ramadan lalu dan ke Pusat Pemindahan Lombok, Indonesia baru-baru ini, bagi membantu mangsa gempa bumi.