SEREMBAN - Seorang pekerja aksesori kereta mendakwa badannya melecur akibat kecuaian pekerja sebuah urut di Oakland, di sini, ketika dia melakukan rawatan bekam, bulan lalu.

Chan Kong Keong, 40, berkata, dia terpaksa menanggung kesakitan apabila mengalami 90 peratus kesan lecur pada lapisan pertama, manakala 10 peratus pada lapisan kedua di bahagian kanan badannya.

Kok Keong yang merupakan pelanggan tetap pusat itu berkata, dia mengambil perkhidmatan rawatan bekam selama satu jam di pusat urut terbabit.

"Saya baring seperti biasa selepas disuruh oleh pekerja di pusat urut itu. Setengah jam selepas itu, tiba-tiba saya terasa seperti terkena air panas.

"Saya terus bangun untuk lihat apa yang berlaku. Terkejut saya apabila seluar pendek yang saya pakai terbakar dan terkena bahagian kanan badan," katanya.

Menurutnya, dia sempat menegur kecuaian dilakukan pekerja terbabit sebelum ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

Sejak kejadian itu, katanya, dia menderita kesakitan dan tidak mampu bekerja selama sebulan.

“Pihak pusat urut tersebut pun tak mahu selesaikan perkara ini dengan cara baik. Kata mereka, ia adalah perkara biasa ketika mendapatkan rawatan terbabit.

"Malah, mereka beritahu sekiranya saya mahukan sebarang pampasan, kena melalui peguam mereka," katanya ketika membuat aduan di Pusat Khidmat Dun Bukit Kepayang, di sini, semalam yang turut dihadiri Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin.

Kok Keong berkata, dia mahu menuntut pampasan sebanyak RM100,000 selepas mengambil kira kos kesakitan, penderitaan dan kos sampingan lain.

"Saya mahu pusat urut berkenaan bertanggungjawab atas kecuaian yang berlaku," katanya.