MELAKA - Kerajaan Melaka memerlukan peruntukan kira-kira RM15 juta untuk mengatasi isu banjir kilat di tiga daerah khususnya di kawasan bandar dalam tempoh jangka masa pendek, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata buat permulaan kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM2.8 juta bagi kerja penambahbaikan pengaliran dan saliran di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti sering berlaku banjir kilat termasuk di Kampung Chetti, Kampung Kilang Berapi dan Kampung Tun Razak di sini.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan untuk daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (RM520,000) dan Jasin (RM810,000).

"Peruntukan tersebut diluluskan hasil perbincangan menerusi jawatankuasa yang diwujudkan untuk menangani isu banjir kilat di negeri ini selain melihat kedudukan semasa kewangan negeri yang agak terhad dan keutamaan kawasan yang perlu diberi perhatian.

"Antara kerja-kerja yang akan dilaksanakan untuk menangani isu ini contohnya di Kampung Chetti, kita akan menaik taraf longkang dan menyelenggara pam air sedia ada," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh masa panjang mengatasi banjir kilat di negeri itu, kerajaan negeri sedang menunggu kelulusan peruntukan berjumlah RM280 juta daripada kerajaan persekutuan bagi melaksanakan Pelan Rancangan Tebatan Banjir Negeri Melaka dalam tempoh lima tahun.

"Peruntukan berkenaan telah diluluskan kerajaan persekutuan sebelum ini. Kita masih menunggu peruntukan terbaru daripada Kementerian Kewangan kerana ia sepatutnya dimulakan awal tahun hadapan," katanya.

Adly berkata kerajaan negeri Melaka juga sedang menyiapkan satu pelan rancangan tebatan banjir untuk daerah Melaka Tengah khususnya di kawasan bandar bagi tempoh masa akan datang.

"Kita telah mengenal pasti punca banjir kilat  berulang kali berlaku di kawasan bandar Melaka disebabkan pertemuan air pasang dari laut dan kawasan dilimpahi hujan menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan lancar selain faktor tambakan laut," katanya. - Bernama