MELAKA - Pas Melaka mencadangkan kerajaan negeri menggubal satu enakmen untuk membolehkan Mahkamah Syariah melaksanakan sebatan di khalayak ramai dalam kes takzir seperti yang dilakukan Terengganu baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Kamaruddin Sidek berkata, ia selaras menurut Islam sebagai satu didikan berpanjangan kepada pesalah dan juga cara pencegahan daripada tersebar ajaran songsang.

"Perkara ini termaktub di dalam al-Quran, surah An-Nur ayat 2  dan hukuman ini adalah tertakluk kepada orang-orang Islam sahaja sementara orang bukan Islam tidak perlu risau.

"Itu cadangan saya kalau kerajaan negeri berani buat perubahan. Kalau ia dibawa ke sidang Dun akan datang, saya harap usul ini dibahas dan disokong semua Adun yang mengaku Islam sama ada di pihak pemerintah atau pembangkang," katanya.

Menurutnya, orang Melayu Islam mewakili 64 peratus populasi penduduk Melaka dan ia amat sesuai dilaksanakan tanpa perlu persetujuan Adun bukan Islam.

"Mereka yang bukan Islam tidak layak campur tangan hal ehwal agama Islam. Pas akan sokong seratus peratus kalau ia terlaksana," katanya.

Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman sebat sebanyak enam kali terhadap dua wanita yang mengaku bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis di dalam kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, jam 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail ketika di awal prosiding berkata, hukuman itu adalah berbentuk pengajaran dan bukannya untuk mencederakan.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.