MELAKA - "Kerajaan Negeri Melaka akan sentiasa memastikan sistem saliran termasuk parit dan sungai berada dalam keadaan yang baik dalam usaha untuk mencegah banjir," kata anggota Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ismail Othman.

Beliau berkata inisiatif itu diambil berikutan terdapat beberapa kawasan yang mengalami longkang tersumbat dan tidak diselenggara dengan baik hingga menyebabkan berlakunya banjir ‘termenung’ yang airnya  tidak dapat mengalir ke sungai apabila hujan lebat.

Katanya kerajaan negeri memberi jaminan akan memastikan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan dilakukan secara berkala selain pelan sistem saliran serta perparitan yang lebih tersusun agar pembangunan yang dilaksanakan di negeri itu tidak mengakibatkan banjir kilat.

"Setakat ini, kita dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melakukan tinjauan dan pemantauan di kawasan-kawasan berisiko bagi memastikan longkang dan sistem saliran sedia ada dise­lenggara dengan baik sekali gus melancarkan aliran air ke sungai utama.

"Selain itu, pihak berkaitan juga perlu memastikan bahawa segala projek pembangunan mengikut garis panduan dan spesifikasi yang ditetapkan bagi mengelakkan bencana yang tidak diingini," katanya kepada pemberita pada Sambutan Deepavali 2017 peringkat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Hussin dan kira-kira 500 kakitangan MBMB yang dihiburkan dengan persembahan kebudayaan masyarakat India, pertandingan Ratu Sari serta cabutan nombor bertuah.

Ismail turut mengarahkan pihak pemaju di negeri itu agar melaksanakan langkah pencegahan dengan melebar dan mendalamkan longkang untuk melancarkan sistem perparitan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihak berkuasa tempatan di negeri ini sedang giat merapikan dahan-dahan pokok yang dikhuatiri berisiko mengundang bahaya di jalan utama dan lokasi tumpuan orang ramai di sekitar negeri itu agar keselamatan masyarakat terjamin.  – Bernama