MELAKA - Kerajaan negeri Melaka akan memanggil semua pegawai dari empat agensi yang terlibat dalam kegagalan mengurus tadbir agensi kerajaan terbabit seperti yang ditemui dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai yang didapati gagal untuk mematuhi syor yang telah ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara.

“Kalau mereka terbukti gagal untuk mematuhi syor oleh Jabatan Audit Negara, maka kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai yang tidak mengamalkan tadbir urus korporat secara konsisten dan tekun.

“Sebarang penjelasan tidak akan diterima, mereka (pegawai terlibat) perlu mengemukakan dokumen-dokumen yang membuktikan kedudukan sebenar apa yang berlaku,” katanya selepas menutup Seminar Bersih Budaya Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh dekat sini hari ini.   

Katanya empat agensi berkenaan perlu memperbaiki kelemahan itu kerana mereka merupakan agensi kerajaan yang mempunyai pegawai-pegawai yang pakar.

Empat agensi yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 ialah Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka (JKMNM), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka dan Kumpulan Melaka Berhad. - Bernama