MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka akan memperkasakan bidang keusahawanan bagi menyediakan lebih banyak peluang jana pendapatan terutama kepada golongan belia.

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, pihaknya akan menilai lokasi-lokasi yang belum terisi dan masih kosong seperti kedai mahupun kiosk di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membolehkan kemudahan itu dimanfaatkan kepada golongan yang mahu menceburi bidang perniagaan sekali gus mengelak bangunan berstatus gajah putih.

Menurutnya, ini berdasarkan pemerhatian dan pertemuan dengan rakyat yang mana mereka mempunyai kemampuan berniaga namun tiada tempat yang sesuai.

“Perbincangan akan diadakan bersama PBT dan Mara bagi mengenal pasti kekosongan lokasi sebelum menempatkan peniaga.

“Saya melihat lebih banyak tempat perniagaan perlu disediakan kepada penduduk supaya mereka bukan sahaja dapat menjana pendapatan malah memacu ekonomi negeri,” katanya, semalam.

Adly yang juga Adun Bukit Katil berkata, Kota Fesyen MITC yang terkenal dengan pelbagai premis perniagaan akan dijenamakan semula dengan nama Tun Fatimah.

Tambah Adly, penukaran nama itu bertepatan bagi mempromosikan dan memberi mood baharu kepada kawasan itu yang sebelum ini seolah-olah  dipandang sepi dan terpinggir.