MELAKA - Sebuah pusat pemindahan banjir dibuka di Alor Gajah berikutan hujan lebat pada Ahad hingga awal pagi semalam yang turut mengakibatkan beberapa kawasan di Melaka dilanda banjir.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata sehingga 8 pagi ini, seramai 10 orang penduduk melibatkan dua keluarga dari Durian Tunggal dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Balai Raya Kampung Belimbing Dalam.

"Bencana menyebabkan air sungai di Belimbing Dalam melimpah sehingga mengakibatkan banjir bermula 4 petang semalam," katanya yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri dilaporkan mendung dan hujan renyai di beberapa kawasan, namun sehingga kini tiada tanda menunjukkan paras air meningkat.

Katanya agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah, APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau keadaan dan akan memaklumkan keadaan dari semasa ke semasa. - Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.