ALOR GAJAH - Sistem ternakan babi berpusat cara moden dicadangkan kerajaan negeri kepada 27 penternak di Paya Mengkuang, Masjid Tanah di sini bagi mengatasi masalah pencemaran yang selama ini membelenggu penduduk sekitar.

Sistem mengguna pakai teknologi terkini dari Jerman atau China akan dikendalikan syarikat pelabur tempatan.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, projek membabitkan kawasan seluas 52 hektar itu bagaimanapun masih di peringkat cadangan dan hanya menunggu persetujuan penternak terlibat.

“Sebelum ini, bila disarankan mereka jalankan ternakan cara moden, mereka tiada modal, nak pinjam bank pun susah, jadi paling mudah kita akan cari pelabur untuk jalankan ternakan cara moden tetapi perlukan persetujuan daripada penternak.

“Ada pelabur yang sedia membawa masuk teknologi itu ke sini dan sekiranya semua penternak bersetuju, ini dapat atasi masalah mereka (penternak) yang berdepan kekangan membuat pinjaman wang daripada bank.

“Penternak hanya perlu membayar sewa bagi menggunakan sistem kumbahan yang disediakan. Sistem ini bukan hanya selamat malah tidak menghasilkan bau,” katanya selepas melawat kawasan ternakan babi di Paya Mengkuang.

Hadir sama, Exco Kesihatan negeri, Low Chee Leong dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterina negeri, Dr Azlan Enjah.

Menurutnya, setakat ini, 30 ladang mematuhi syarat pemerolehan lesen dan kaedah penternakan baik, namun sistem kumbahan masih perlu ditingkatkan.

Sementara itu, seorang pemilik ladang ternakan babi, Tan Boon Soon, 60, berkata, beliau sudah melabur banyak wang sejak menternak babi 28 tahun dahulu, sehinggalah mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berwajib.

“Apa juga cadangan saya bersetuju, tapi sebagai penternak, kami bergantung kepada persatuan penternak babi di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Azlan berkata, penternak di Paya Mengkuang mengeluarkan 48,100 ekor babi setahun dan jumlah itu adalah had pengeluaran maksimum yang dibenarkan.

“Pusat sembelihan di sini melakukan sembelihan 300 ekor sehari dan mereka tidak boleh menghasilkan lebih dari itu, baik dari segi pengeluaran produk sembelihan mahupun jumlah ternakan.

“Ini kerana jika populasi ternakan berlebihan dengan kawasan ternakan yang terhad dibimbangi boleh menyebabkan penyakit,” katanya.