KOTA KINABALU - Hubungan baik antara Melaka dan Sabah akan diperkukuhkan lagi menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan berkaitan perkara itu akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat sebaik selesai proses perbincangan bersama pihak Malaysia Airport Holdings Berhad selain kerjasama Kementerian Pengangkutan.

“Ini adalah antara inisiatif yang dirancang kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Melaka pada tahun depan, di samping memperluaskan lagi industri pelancongan di kedua-dua negeri,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Adly berkata hingga kini, Melaka menerima kira-kira 17 juta pelancong dan beliau yakin dengan adanya penerbangan secara terus itu akan memberi lebih manfaat kepada kedua-dua negeri.

Selain itu, beliau berkata antara perkara lain yang dibincangkan dalam kunjungan tersebut ialah kerjasama antara Yayasan Sabah dan Yayasan Melaka di Tawau dalam bidang perladangan.

“Selepas mengadakan lawatan ke Yayasan Melaka di Tawau, kita akan menilai semula pelaksanaan serta pengurusan yayasan itu dan kita merasakan dengan penstrukturan semula, Yayasan Sabah dan Yayasan Melaka akan dapat bekerjasama dengan lebih baik,” katanya. - Bernama