SEREMBAN - Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah adik, Nur Afini Roslan, 14, yang maut selepas bilah mesin potong rumput terpelanting mengenai kepalanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tragedi yang menimpa pelajar tingkatan dua itu sangat memilukan, serta membawa kesedihan kepada seluruh masyarakat.

Tegas Mohamad, kejadian tersebut boleh dielakkan jika semua pihak melakukan kerja mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menurutnya kerja-kerja seperti itu sepatutnya dilakukan diluar waktu persekolahan, atau semasa padang tidak digunakan oleh pelajar mahupun guru.

 "Dalam kontek ini, sebelum memulakan kerja mereka hendaklah pastikan supaya bilah pisau itu berada dalam keadaan yang baik, kerana itu adalah penting, kita tidak boleh mengambil ringan atau sambil lewa dengan apa yang berlaku.

" Segala aspek keselamatan mesti kita ambil kira kerana jangan disebabkan oleh kecuaian ia boleh mendatangkan kemalangan dan malapetaka kepada orang lain.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi kejadian ini boleh dielakkan jika kita lebih berhati-hati, tidak kira dalam apa sahaja perkerjaan dan perbuatan yang dilakukan, kita mesti berhati-hati," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman Gemas maut, selepas bilah mesin potong rumput terpelanting mengenai kepalanya.

Manakala dua lagi pelajar, Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera di bahagian belakang kepala dan Abdullah Hazlan, 14, cedera pada bahagian telinga kanan.