SEREMBAN – Polis masih menunggu laporan ujian darah bagi pengesahan sama ada dua kes kematian yang diterima di negeri ini berpunca daripada keracunan alkohol.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan bahawa alkohol yang diminum oleh kedua-dua mangsa bukan daripada jenis alkohol yang menyebabkan kematian bagi kes di Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau tidak mendedahkan butir-butir peribadi mangsa sehingga pengesahan diperoleh sambil berkata kedua-dua kes tersebut berlaku di Seremban.

“Apa yang boleh disahkan ialah kedua-dua mereka memang ada mengambil alkohol sebelum kejadian,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata selain itu, satu kes diterima berkaitan keracunan metanol di daerah Seremban dan mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar.

“Mangsa seorang warga Bangladesh 43, yang bekerja  sebagai buruh dilaporkan mengalami simptom penglihatan kabur, pening dan sakit kepala selepas meminum alkohol (jenama Joker dan Club 99) sebelum dihantar ke hospital Khamis lepas,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan ketika ini sedang membuat pemantauan bagi mengesan jenama alkohol yang diminum mangsa.

“Kita sedang buat pemantauan di seluruh premis menjual alkohol di negeri ini,,” katanya.

Sehingga tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan menerima 86 notifikasi kes keracunan metanol  daripada fasiliti-fasiliti kesihatan kementerian dari empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Sebanyak 36 kematian akibat keracunan alkohol dicatat di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.  - Bernama