TERIANG - Kerajaan membelanjakan kira-kira RM22.6 bilion bagi menampung kenaikan harga barang dalam bentuk subsidi kepada rakyat di negara ini.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Rais Yatim berkata, jumlah itu digunakan untuk memberi subsidi kepada harga bahan api dan barangan keperluan asas.
Menurutnya, tiga bulan lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengingatkan bahawa kerajaan membelanjakan RM22.6 bilion supaya harga barang tidak naik.
“Namun apabila menyentuh soal subsidi ini masyarakat tidak ambil kisah kerana mereka tidak tahu berapa nilai wang berkenaan.
“Malah belanjawan tahunan Negeri Sembilan sahaja bernilai RM330 juta dan perkara ini juga masyarakat tidak ambil kisah. Tetapi berbeza sekiranya peruntukan subsidi itu diberikan kepada rakyat sebanyak RM500 seorang, ianya lebih afdal,” katanya semasa berucap pada
Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Padang Durian Gasing, Kampung Teriang, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Chennah, Datuk Siow Chen Pin; Adun Pertang, Datuk Razak Mansor dan Adun Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad.
Dalam pada itu, Rais berkata, sebanyak RM2.58 Bilion diambil daripada peruntukan subsidi untuk diagihkan kepada ketua isi rumah yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.
“Kerajaan berkata benar dengan mengotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat. Malangnya ada juga pihak yang tidak suka berkata benar.
“Jika ada pihak luar yang datang ke kampung untuk berceramah, sebenarnya mereka teringin buat seperti mana yang kita buat (menyampaikan bantuan), namun mereka tidak dapat melakukannya,” katanya.
Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan peruntukan Ahli Parlimen kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan wakil-wakil rakyat kawasan.
Masyarakat tak tahu jumlah subsidi diberi kerajaan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.





