$entry.content.caption.value
BUKIT TEMBAKAU – Dianggarkan sebanyak RM80,000 diperlukan untuk membaik pulih bumbung Masjid Al-Faizin Bukit Tembakau, di sini yang semakin usang dan uzur.
Pengerusi Masjid, Mohd Emran Ahmad berkata, sejak masjid itu wujudkan pada 1939, kerja-kerja menukarkan bumbung baru ataupun naik taraf belum pernah dilakukan.
Bagaimanapun menurutnya, biarpun bumbung belum diganti sejak lebih 70 tahun lalu, namun masjid itu mengalami beberapa penambahbaikan dari segi ruang solat dan kawasan kaki lima bagi keselesaan jemaah sekiranya ada program mahupun majlis.
“Kali terakhir masjid ini dinaik taraf pada 2006 kerana pertambahan jemaah dan sehingga kini ianya mampu memuat 600 jemaah dalam satu masa.
“Setiap kali solat fardu sekurang-kurangnya 60 jemaah akan bersama menunaikan solat di masjid ini dan program keagamaan yang dianjurkan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk. Oleh itu, diharap masalah ini akan mendapat perhatian pihak
berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan dan Perarakan Maulidur Rasul 1433H, di sini, kelmarin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Serkam, Datuk Ghazale Muhamad; Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Jasin, Zaidi Atan.
Emran berkata, sambutan itu adalah program tahunan masjid dalam meraikan dan mengingati hari Keputeraan Baginda Rasulullah SAW yang diisi dengan pelbagai program bermanfaat.
“Sambutan ini lebih meriah apabila semua penduduk berkumpul bagi meraikannya termasuk penduduk dari taman perumahan berdekatan.
“Sambutan yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka ini juga berjaya mengadakan perarakan bermula dari Taman Bukit Tembakau ke Pekan Umbai dan berakhir di Masjid Al-Faizin,” katanya.
Dianggarkan lebih 400 orang melibatkan kanak-kanak, dewasa dan warga emas hadir menjayakannya yang turut mengundang penceramah jemputan, Ustazah Nor Laila Aniza Zakaria.





