MELAKA TENGAH - Sambutan dingin pengusaha taska serta pengasuh kanak-kanak yang beroperasi di rumah untuk mendaftar operasi mereka menyaksikan hanya lapan premis didaftar sepanjang tahun ini.

Secara keseluruhan, sejumlah 97 buah taska di negeri ini telah didaftarkan sejak Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dikuatkuasakan.

Exco Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Ginie Lim Siew Lin berkata, sambutan dingin dalam kalangan pengusaha taska sekali gus gambarkan sikap sesetengah daripada mereka memandang remeh aspek keselamatan kanak-kanak.

Menurutnya, sikap serta mentaliti pengasuh kanak-kanak yang tidak mengambil berat dan kurang ber­tanggungjawab mengenai ke­pentingan mendaftar boleh mendatangkan masalah kepada mereka dan ibu bapa pada masa akan datang.

“Kita akui jumlah taska yang masih tidak berdaftar adalah banyak. Ini lebih-lebih lagi kerana sentiasa bertambah ekoran permintaan ibu bapa yang bekerja,” katanya di sini.

Menurut Ginie, proses pendaftaran dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah tidak sukar di mana pengusaha hanya perlu mengikuti kursus prosedur operasi standard (SOP) taska bagi melindungi mereka daripada kejadian tidak diingini.

Kursus ini turut akan mendedahkan mereka kepada kaedah penjagaan sebenar.

Kata beliau, JKM amat menitikberatkan pengetahuan dan kemahiran pengusaha, penyelia dan pengasuh supaya mereka dapat memberikan per­khidmatan terbaik dalam bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

“Sebagai con­toh, mengikut SOP, pengasuh berhak me­nolak menjaga bayi atau kanak-kanak dihantar ibu bapa jika kurang sihat, bagi me­lindungi mereka dari masalah ti­dak dijangka,” katanya.