KUALA PILAH - Masalah banjir kilat yang melanda daerah ini selama lebih 10 tahun bakal berakhir setelah projek menaiktaraf sistem perparitan laluan Persekutuan 51 Seksyen 35 (Jalan Seremban - Kuala Pilah) berjumlah RM250,000 siap sepenuhnya hujung Oktober ini.

Laluan tersebut meliputi persimpangan hadapan pasaraya Giant dan Kampung Sawah Liat, Ulu Bendul.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Syahrul  Nizam Saleh berkata, beliau sering menerima aduan daripada penduduk dan pengguna jalan raya berhubung kejadian banjir kilat yang sering berlaku gara-gara hujan berpanjangan.

“Setelah diteliti, antara lokasi yang paling kerap berlaku ialah di hadapan persimpangan pasaraya Giant dimana pada tahun ini telah berlaku sebanyak tiga kali banjir kilat dan kali terakhir pada 2 September lalu ketika perayaan Aidil Adha,”katanya.

Menurutnya, peruntukan projek disalurkan dari Kerajaan Persekutuan bagi menaiktaraf sistem perparitan dan penyelenggaraan.

“Projek di bawah kendalian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah kepada syarikat konsesi Jalan Persekutuan iaitu Selia Senggara Sdn Bhd  bermula 2 Oktober lalu dan dijangka siap pada 31 Oktober dalam tempoh sebulan,” katanya.

Syahrul Nizam berkata demikian dalam sidang media projek menaiktaraf sistem perparitan laluan Persekutuan di hadapan pasaraya Giant, hari ini.

Hadir sama, Jurutera JKR daerah, Mohd Faizul Mohd Ali Hanafiah, wakil Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Samsuddin Redza dan Ketua Polis Daerah, Superintenden Haslah Bachok.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :