MELAKA TENGAH - Ketua Cabang PKR Masjid Tanah mengakui dihubungi Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menerusi aplikasi WhatsApp sebelum mengumumkan kenyataan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Menurut Halim Bachik, bagaimanapun ia bukanlah untuk berbincang mengenai hal politik, namun dia yang telah dilantik sebagai penyelaras Dun Tanjung Bidara menerangkan memerlukan hubungan dengan ahli parlimen kawasan berkenaan demi kebajikan rakyat.

“Sebenarnya saya pun memang nak jumpa beliau dan nak bincang dengan YB Mas tapi selepas beliau umumkan keluar Umno, beliau terus diamkan diri.

“Saya memerlukan perbincangan bersama kerana saya difahamkan sebelum ini beliau membantu memberi lampin pakai buang secara percuma kepada pesakit terlantar yang kurang bernasib baik.

“Jadi orang kita ni, bila dah pernah dapat percuma, kali ini tak ada, jadi itu sebenarnya yang nak saya bincangkan bersama demi memastikan penduduk di Dun Tanjung Bidara khususnya mendapat pembelaan dan aktiviti percuma itu dapat diteruskan,” katanya.

Halim berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka PKR Masjid Tanah, malam kelmarin.

Halim turut mendakwa terkejut apabila wang peruntukkan Dun itu sebanyak RM380,000 bagi tahun ini telah dihabiskan pihak sebelum ini sejak April lalu.

“Saya terkejut dengan laporan yang dimaklumkan Pejabat Daerah Alor Gajah mengenai wang peruntukkan tersebut yang telah habis, sudahlah barang-barang di dalam Kompleks Japerun diambil.

“Cuba bayangkan bagaimana keadaan kami sekarang untuk membantu rakyat dan hanya mengharapkan wang yang disalurkan kerajaan negeri sebanyak RM50,000 untuk digunakan sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Halim turut memuji tindakan Mas Ermieyati keluar parti sebagai keputusan bijak kerana menganggap ahli parlimen itu selama ini dikongkong ketua bahagiannya.

“Sepatutnya dia sebagai ahli parlimen dialah yang lebih ke depan, tapi dia tak dapat berbuat demikian sebab dikongkong dan saya yakin selepas ini dia mampu lebih ke depan dan menempuh perjalanan panjang dalam politik,” katanya.

Sementara itu, dianggarkan lebih 1,200 orang menghadiri majlis itu yang turut dilancarkan tabung derma bagi membantu seorang bayi berusia lima bulan, Nurul Jalwa Norfazizal yang perlu menjalani pembedahan hati segera.