MELAKA - Sebuah lagi pusat pemindahan dibuka di Alor Gajah menjadikan kesemuanya tiga pusat dibuka dengan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 132 orang setakat jam 8.30 malam ini berbanding 99 orang petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata pusat pemindahan banjir baharu yang dibuka jam 5.30 petang itu ialah di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, Durian Tunggal.

"Pusat pemindahan berkenaan menempatkan seramai 47 mangsa daripada lapan keluarga manakala pusat pemindahan di Masjid Kampung Panchor, Durian Tunggal masih kekal dengan 80 mangsa iaitu lapan pengajar dan 72 pelajar dari Madrasah Tahfiz al-Quran Ainur Syukriah.

"Sementara di pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Tanjung Rimau Luar, Gadek kini menempatkan lima mangsa daripada dua keluarga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka berkata kejadian banjir di kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada hujan lebat sejak petang semalam dan hujan renyai pada hari ini.

Menurut beliau cuaca di seluruh negeri Melaka setakat ini dilaporkan mendung di beberapa kawasan, namun bacaan air sungai di lokasi terbabit banjir masih di paras waspada.

Katanya agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah, Polis Diraja Malaysia, Jawatankuasa Pengurusan Banjir Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan APM sedang memantau keadaan dan akan memaklumkan keadaan dari semasa ke semasa. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Sebanyak 24 kampung di Kota Belud terjejas banjir manakala lapan jalan raya masih tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan kerana ditenggelami air.
  • KOTA KINABALU - Jumlah mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara di daerah Kota Belud meningkat kepada 453 orang daripada 170 keluarga setakat pagi ini.
  • TANAH MERAH - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah ini memulakan persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini dengan mengadakan perjumpaan bersama jawatankuasa pusat pemindahan di sini, kelmarin.
  • KOTA KINABALU - Banjir di Kota Belud semakin buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 268 orang malam ini, berbanding 180 mangsa petang tadi.
  • KOTA KINABALU - Banjir di Kota Belud semakin buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 180 orang di sebelah petang berbanding 144 orang di sebelah pagi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.