SEREMBAN -  "Atas nasihat ahli keluarga dan imam, majlis pernikahan saya akan diteruskan dan adik lelaki saya yang akan menjadi walinya," kata Nur Faizah, 30, anak kepada Setiausaha Umno Seremban, M.Rosli Alias,54, yang meninggal dunia semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.50 pagi akibat sakit jantung ketika sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Menurut Nur Faizah, seperti yang dirancang, majlis akad nikahnya akan diadakan di rumah selepas solat Asar esok dan dia berharap semuanya berjalan lancar.

"Sepatutnya hari ini ayah pulang ke rumah untuk majlis pernikahan saya dan masuk semula ke wad selepas selesai majlis perkahwinan esok (Sabtu) memandangkan keadaan kesihatannya.

"Tapi, ALLAH lebih menyayanginya. Kelmarin pun saya sempat berbual dengan ayah dan beritahu dia supaya jangan risau, rehat saja di hospital kerana saya boleh uruskan sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu anak sulung daripada enam beradik ini berkata, Allahyarham juga sebelum ini pernah berpesan walau apa sahaja rintangan berlaku dia mahu majlis diteruskan.

Malah, Allahyarham sempat berpesan supaya menjadi isteri yang baik dan taat kepada suami serta menjaga adik-adik.