NILAI - Seorang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) maut digilis bas di Jalan USIM berdekatan Dewan Tuanku Canselor di sini, kira-kira jam 5.45 petang di sini, petang tadi. 

Mangsa Wamasaria Layai, 22, meninggal dunia selepas terjatuh dari motosikal dinaiki bersama rakannya sebelum terperosok di bawah bas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Negeri, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, mangsa membonceng motosikal ditunggang rakannya Nurul Fariza Nastaha Sapuan berusia 22 tahun. 

"Namun sebaik sampai di lokasi, motosikal dinaiki hilang kawalan menyebabkan mangsa terjatuh.

"Pada waktu itu terdapat sebuah bas USIM melalui kawasan tersebut menyebabkan mangsa terperosok di bawah bas sebelum digilis," katanya. 

Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah pada kepala manakala rakannya selamat dan hanya mengalami luka. 

Beliau berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban(HTJS) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ1987.