MELAKA TENGAH - Kedatangan pelancong ke Melaka mencatatkan lebih 8.73 juta orang dan meningkat seramai 599,037 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Budaya, Mohd Jalaini Khamis, berkata, peningkatan sebanyak 7.36 peratus  berbanding 8.14 juta pelancong tempoh yang sama tahun lalu itu berikutan penambahan seramai 526,113 pelancong asing dengan 19.03 peratus dan pelancong domestik 72,924 orang, iaitu 1.36 peratus.

“Lima negara merekodkan kadar tertinggi iaitu China, Singapura, Indonesia, Korea Selatan dan Vietnam. Bagi pelancong domestik lima negeri dilaporkan ramai mengunjungi negeri ini ialah dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Terengganu dan Negeri Sembilan.

"Jika dibandingkan dari segi statistik menunjukkan peningkatan mendadak dan kebanyakan pelancong tempatan datang ke Melaka kerana tertarik serta mahu menikmati ikan bakar dengan asam pedas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) mengenai bilangan pelancong dan pecahan pelancong dari Januari hingga Jun 2018, pada Persidangan Penggal Pertama Dun Ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Mohd Jalaini (PKR-Rembia) berkata, beliau juga akan merencanakan satu pelan bertindak membaiki papan tanda di lokasi pelancongan bagi menggelak pelancong keliru dan tersalah arah terutama yang menggunakan aplikasi seperti Waze dan Google Maps.

"Kita juga sedang merancang untuk mewujudkan Kampungstay dan Eco Desastay yang akan direalisasikan pada pertengahan tahun depan bertepatan Tahun melawat Malaysia 2019 negeri Melaka," katanya.

Menurutnya, program yang akan merancakkan des-tinasi pelancongan di kawasan luar bandar itu akan dilaksanakan di beberapa kampung terpilih terutama berdekatan sumber air seperti sungai mahupun danau.

”Kalau nak merasa suasana kampung boleh menginap di kampung tersebut pada masa sama terdapat pengisian tarian tradsional kambing pangggang, makanan bertalam dan sebagainya.

”Kertas kerja itu sedang diperhalusi dan mungkin akan dibentangkan tidak lama lagi sebelum diluluskan kerajaan negeri sebelum dilaksnakan pertengahan 2019,” katanya ketika menjawab soalan tambahan mengenai langkah kerajaan negeri meningkatkan destinasi pelancongan di luar bandar.