MELAKA TENGAH – Kerajaan negeri menyalurkan lebih RM8 juta wang bantuan kepada penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka sehingga Julai lalu.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Ginie Lim Siew Lin berkata, jumlah itu merupakan sebahagian dari RM15 juta yang diperuntukkan kepada 24,913 penerima bantuan yang layak menerusi JKM negeri terdiri daripada golongan kurang mampu.

Menurutnya, kerajaan pusat turut memperuntukkan RM62.2 juta untuk diagihkan kepada penerima dan ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kepada penerima negeri ini RM77.2 juta.

“Kita akan memastikan mereka yang layak menerima bantuan mendapat bantuan bagi meringankan beban dan menjadikan semangat untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Ini juga bertepatan dengan janji dan manifesto Kerajaan PH dalam meringankan beban kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Kembara Sayangi Malaysiaku di Dewan Kejora, Tebong, Alor Gajah.

Ginie yang juga Adun Machap Jaya berkata, peruntukan itu juga akan digunakan bagi prasarana kemudahan orang kurang upaya (OKU) yang mana Melaka sehingga kini mempunyai 22,892 pendaftar OKU.

“Kita juga akan pastikan kebajikan OKU dapat pembelaan sewajarnya,” katanya.