AYER MOLEK - Seorang anak muda dari Ayer Molek, di sini menjadikan penternakan lebah kelulut sebagai sumber pendapatannya sejak hampir setahun lalu.

Selepas menyertai kursus memelihara kelulut anjuran Mardi negeri pada tahun lalu, Muhammad Sharif Othaman, 23, mula serius menjalankan penternakan lebah yang kini mempunyai lebih 60 sarang.

Tambah Muhammd Sharif, selepas menamatkan pengajian peringkat sijil di Institut Latihan Perindustrian (ILP) empat tahun lalu, dia nekad bekerja sendiri dengan menjalankan perniagaan ‘coconut shake’ yang juga perniagaan berasaskan pertanian.

Katanya, dia memulakan perniagaan itu sejak berusia 21 tahun dan kini mempunyai tiga pekerja yang membantu menguruskan perniagaannya.

"Sejak memulakan perniagaan saya memang mahu mencari sumber pendapatan sampingan yang turut berasakan pertanian sehinggalah ayah saya memberitahu ada kursus memelihara kelulut dianjurkan Mardi.

"Saya menyertai kursus pendek berkenaan dan terus serius menjalankan pemeliharaan serangga itu dengan mencari sarangnya di sekitar negeri ini dengan bantuan penebang pokok,” katanya, di sini.

Muhammad Sharif berkata, sebuah sarang kelulut dibeli dengan harga kira-kira RM100 dan ia bergantung kepada saiznya.

Katanya, sarang kelulut itu dibawa ke tapak pemeliharaan dan diletakkan kotak di bahagian atas kayu yang sudah dipotong untuk dijadikan sebagai tempat kelulut menyimpan madunya.

"Alhamdulillah selepas hampir setahun, saya kini mampu menghasilkan sebanyak 30 botol madu yang dijual dengan harga RM50 bagi setiap botol.

"Madu kelulut digemari ramai kerana rasanya agak masam dan sesuai dijadikan sebagai makanan tambahan untuk kesihatan diri,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA NERANG - Pengeluaran madu di Kedah dikatakan semakin merosot hingga gagal menampung permintaan dari dalam dan luar negara.
  • KUALA BERA - Meskipun kerja menyelenggara sarang lebah kelulut rumit, tetapi ia berbaloi kerana bukan sahaja memberikan hasil pendapatan yang lumayan malah satu kepuasan buat pengusaha dan penggemar madu.
  • BATU KURAU - Percaya atau tidak, rasa dan khasiat madu bergantung kepada pengaruh persekitaran sesebuah kawasan terutama bunga yang menjadi sumber makanan kepada koloni berkenaan.
  • TEMERLOH - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh akan berusaha memainkan peranan membantu Kampung Bukit Kelulut menghasilkan produk madu kelulut dan lada hitam sebagai produk komersial kedua selepas ikan patin.