SEREMBAN - Pemuda Umno Bahagian Seremban menyokong gesaan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya P Waytha Moorthy melepaskan jawatan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, desakan itu berikutan kegagalan Moorthy menguruskan isu-isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak sehingga mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, Pengerusi Hindraf itu tidak layak memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, berikutan pernah memburukkan Malaysia kepada negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah terhadap keharmonian negara.

"Pemuda Umno Bahagian Seremban mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menteri tersebut yang menyebarkan kenyataan palsu dan  fitnah jahat terhadap negara.

"Kami mendesak Pengerusi Hindraf itu dikenakan hukuman di bawah Akta Sosma kerana menghasut dan memfitnah," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, di sini semalam.

Katanya, sehingga kini beliau tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat dilakukan sebagaimana ditularkan melalui video berdurasi 2 minit 39 saat itu.

"Saya membuat laporan ni supaya pelaku di dalam video berkenaan disiasat di bawah seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang sedia ada yang berkaitan," katanya.