PORT DICKSON – Lapan premis makanan di daerah ini diarahkan tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan, termasuk kotor.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, antara kesalahan dikenal pasti adalah pemilik tidak mendaftarkan premis makanan, pengendali makanan tiada sijil latihan Pengendali Makanan serta tidak menerima suntikan anti-typhoid.

“Selain itu, pemilik juga gagal mengekalkan premis makanan bersih, tidak memakai apron dan penutup kepala serta tidak menjaga kebersihan diri.

Arahan penutupan itu dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Operasi Premis Makanan Bersih dijalankan di kawasan sekitar Lukut, pekan Port Dickson dan Teluk Kemang di sini, melibatkan lapan pasukan daripada Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri (UIPN); Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dan JKNNS, turut memeriksa 51 premis makan termasuk lapan yang diarah tutup.

“Dalam operasi itu juga, 97 notis yang boleh dikompaun di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM29,000.

“Fokus utama operasi ini adalah penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM) yang menekankan aspek penilaian tahap kebersihan premis serta lain-lain kesalahan di bawah akta dan peraturan-peraturan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga November tahun ini, sebanyak 6,255 premis makanan diperiksa dengan 88 premis atau 1.41 peratus daripadanya diperintah ditutup.

“Sementara 943 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 yang boleh dikompaun dikeluarkan kepada pemilik dan pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar PPKM 2009 dengan keseluruhannya berjumlah RM249,850,” katanya.

Bagi tahun lepas, Veerapan berkata 9,025 premis makanan diperiksa dengan 177 premis atau 1.96 peratus daripadanya diperintahkan tutup, manakala 1,906 notis yang boleh dikompaun dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan kompaun berjumlah RM378,875. - Bernama