SEREMBAN - Pemandu teksi di negeri ini dinasihatkan supaya membuat caruman Perkeso melalui Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri, bagi mendapatkan perlindungan.

Pengarah Perkeso Negeri, M Nallusamy berkata, daripada 1,709 jumlah pemandu teksi seluruh negeri ini, hanya 129 sahaja yang berdaftar di bawah skim berkenaan sejak diperkenalkan pada 1 Jun 2017.

Menurutnya, skim bencana kerja bagi pekerja sendiri ini diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada pencarum yang menjalankan kerja sendiri, namun sambutan diterima agak mengecewakan.

“Buat permulaan, skim ini diwajibkan kepada semua pemandu teksi dan perkhidmatan seumpamanya seperti Uber, di bawah peruntukkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

“Namun di Negeri Sembilan, pencapaian mereka yang berdaftar melalui skim ini sangat kurang, tidak sampai 10 peratus daripada pemandu teksi yang mencarum dengan kita.

“Mungkin kurangnya kesedaran mengenai faedah skim tersebut menyebabkan mereka masih lagi tidak berdaftar, selain kekangan masa,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan cek faedah di bawah Skim Pekerjaan Sendiri kepada pencarum, K Gopalan, 50, merupakan pemandu teksi yang cedera semasa bekerja pada April lalu.

Hadir sama, Ketua Bahagian Skim Bencana Pekerjaan Sendiri, Zainal Ismail.

Gopalan merupakan pemandu teksi pertama yang menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak RM2,760 berdasarkan kiraan 92 hari tidak bekerja berikutan kecederaan dialami.

Jelasnya, terdapat empat pilihan kadar caruman mengikut pilihan pendapatan, iaitu RM157.20, RM232.80, RM 442.80 dan RM592.80 yang dibayar untuk tempoh setahun.

Katanya, apabila mencarum melalui skim tersebut, pencarum dilindungi dengan pelbagai faedah antaranya bayaran kematian kepada waris sebanyak RM945 sehingga RM3,555 setiap bulan (mengikut skim diambil) sehingga warisnya meninggal dunia.

“Bukan sahaja pencarum dilindungi, sebaliknya faedah diterima orang tanggungan dengan kadar 90 peratus daripada purata pendapatan bulanan diinsuranskan, selain faedah hilang upaya kekal.

“Selain itu, faedah elaun layanan sentiasa turut ditawarkan kepada mereka yang layak sehingga RM500 sebulan, jika didapati individu itu benar-benar tidak mampu bangun dan memerlukan layanan tersendiri oleh orang lain.

“Pelbagai faedah dan manfaat boleh diterima jika mereka daftar Perkeso, bukan hanya perlu ada majikan, bekerja sendiri pun boleh dapat perlindungan Perkeso,” katanya.

Katanya, mereka yang berminat untuk berdaftar boleh layari laman www.perkeso.gov.my atau hubungi Mohd Shahir Abd Malit di talian 019-3518297.