SEREMBAN - Melihat tubuh badan si comel kucing jalanan berkurap dan dipenuhi luka, sesiapa pun tiada yang sudi.

Namun Mastura Amanah, 35, sanggup membawa pulang kucing berkenaan ke rumahnya lalu diubati sehingga sembuh yang menjadi suntikan semangat buatnya untuk menyelamatkan lebih banyak kucing dengan membuka ‘Casa Del Gato’ atau Rumah Kucing di Selayang sejak Februari lalu.

Menurutnya, rumah kucing berkenaan bukan sahaja menempatkan kucing jalanan tetapi turut menerima haiwan itu daripada pemilik yang tidak lagi mahukannya.

Mastura yang lebih mesra dengan panggilan Dhia berkata, kesemua kucing berkenaan kemudian akan diberikan secara percuma kepada sesiapa yang berminat.

“Mereka yang menyerahkan kucing dikenakan bayaran antara RM60 hingga RM80 untuk seekor kucing bagi kos penjagaan dan rawatan.

“Boleh dikatakan sejak beroperasi, kami menerima sehingga 500 kucing yang sebahagiannya berpenyakit. Walaupun macam tu, kami tetap jaganya dengan baik sehingga sembuh.

“Konsep kami ialah ambil dan jaga kemudian mencari penjaga baru untuk kucing ini dengan harapan si comel ini dapat kehidupan lebih baik,” katanya.

Bawa kucing ke pasar raya

Setiap Jumaat hingga Ahad bermula jam 11 pagi hingga 6 petang, dia bersama pasukannya akan membawa sekurang-kurangnya 30 kucing ke pasar raya Mydin Seremban 2 untuk diberi secara percuma kepada sesiapa yang sudi.

Manakala pada jam 6.30 petang sehingga 12 tengah malam Jumaat dan Sabtu mereka akan berada di Uptown Mercato, Bandar Baru Enstek, Nilai dan pada setiap hari juga akan berada di Uptown Danau Kota.

“Boleh dikatakan 90 peratus kucing yang dibawa di kesemua lokasi itu akan diambil orang. Datang saja dan tunjuk kucing mana yang jadi pilihan, kami akan serahkan sekali dengan kotak.

“Bila tengok kucing-kucing ini dapat tuan baru, hati saya puas dengan harapan mereka akan dijaga dengan baik nanti,” katanya.

Ditanya kos yang perlu ditanggung, Mastura berkata, setiap bulan dia membelanjakan RM10,000 untuk kos keseluruhan penjagaan kucing berkenaan.

Malah ada ketikanya dia terpaksa menggunakan duit simpanan untuk membiayai penjagaan kucing terbabit.

“Duit serahan kucing itulah yang saya gunakan untuk beli makanan dan kos ubat. Tapi kadang-kadang memang tak cukup, cuma setakat ini saya bersyukur kerana rezeki saya dipermudahkan.

“Malah hati saya lebih tenang berbanding dulu menjaga haiwan kesayangan Nabi ini. Bila rasa susah, ada saja bantuan yang datang,” katanya.

Kanak-kanak teruja melihat kucing percuma di luar pintu masuk pasar raya Mydin Seremban 2.

Nekad berhenti kerja

Oleh sebab itu, Mastura nekad berhenti kerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur bagi memberi sepenuh perhatian terhadap rumah kucingnya bersama empat lagi rakannya antaranya Nor Faliezah Saini, 29, dan Nor Suhaila Mazli, 25,

Sementara itu, pencinta kucing, Aizat Shahiran Ahmad Kamal, 24, berkata, dia terkejut apabila ingin memasuki pasar raya itu disapa dengan pemberian kucing percuma.

“Pada mulanya saya sukar untuk percaya namun selepas dijelaskan baru saya yakin dan mengambil seekor kucing.

“Usaha dilakukan ini adalah baik di mana memudahkan pencinta kucing seperti saya memperoleh kucing,” katanya.