MELAKA -  Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari hari ini menyarankan agar anggota exco kerajaan negeri dan Adun melakukan pendekatan atau komunikasi yang lebih baik ketika berhadapan dengan rakyat bagi memastikan isu yang ingin diselesaikan berjalan lancar.

"Banyak pengalaman dan pengajaran yang kita terima dalam usaha menambah baik perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat dari semasa ke semasa.

"Kita menerima segala teguran rakyat dengan hati terbuka dalam apa jua isu yang dibangkitkan melibatkan tindakan Exco atau ADUN di negeri ini dan ia dibincangkan secara bersama," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Adly mengulas pelbagai komen negatif netizen termasuk yang melabel seorang anggota exco  negeri  sebagai 'gangster' ekoran penularan video pembongkaran baja subsidi yang disorokkan di sebuah premis di Sungai Rambai pada 30 Ogos lepas.

Adly berkata anggota exco tersebut turut menerima tekanan daripada golongan petani terlibat dalam menyelesaikan isu penyelewengan dan pengagihan baja berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya Adun Pengkalan Batu yang juga Timbalan Pengerusi DAP negeri telah berkhidmat dengan cemerlang dalam menyelesaikan isu rakyat berdasarkan aduan atau laporan yang dibuat kepadanya walaupun pendekatan yang dilakukan sedikit keras.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Adly berkata Kerajaan Pakatan Harapan telah menyelesaikan sebanyak 399 aduan atau 77 peratus daripada 517 aduan yang diterima yang dikemukakan rakyat pada Program Hari Bertemu Rakyat setiap Jumaat di Seri Bendahara sejak ia dilaksanakan pada Mei hingga Julai lepas.

Katanya sebanyak 108 aduan pula sedang dalam proses untuk diselesaikan manakala 10 aduan lagi tidak dapat diselesaikan.

Beliau berkata program tersebut akan diteruskan dan pihaknya sedang menilai mekanisme terbaik untuk mempercepatkan proses penyelesaian setiap aduan rakyat. - Bernama