SEREMBAN – Pelantikan ketua kampung, Pengerusi KRT (Kawasan Rukun Tetangga), dan jawatankuasa di Kampung Baru, akan melibatkan permuafakatan dalam kalangan empat parti Pakatan Harapan (Harapan) negeri ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Ismail Ahmad berkata, dalam organisasi pelantikan tersebut itu melibatkan wakil keempat-empat parti (DAP, PKR, Bersatu dan Amanah) mengikut kesesuaian kawasan.

Menurutnya, senarai calon sudah pun ada dan dipilih oleh peringkat kerajaan negeri, melibatkan semua wakil parti dalam sesebuah organisasi JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) termasuk KRT.

“Keputusan telah pun dibuat, barisan kepimpinan itu nanti akan diwakili semua parti dalam Harapan, misalnya jika Pengerusi itu adalah wakil PKR, maka jawatan bagi setiausaha mungkin Amanah, bendahari wakil daripada Bersatu, dan AJKnya akan dianggotai parti lain termasuk DAP, begitu juga sebaliknya.

“Ini untuk memastikan setiap organisasi itu dapat melaksanakan kerja secara berkumpulan dan bergerak sebagai satu pasukan hebat.

“Kita berharap semua yang dilantik nanti dapat jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah, serta tidak melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” katanya.

Jelasnya, apa jua masalah berbangkit, mereka perlu selesaikannya secara berhemah dan melalui pemikiran yang waras, serta tidak terlalu mengikut emosional.

Katanya, setiap calon yang dilantik, perlu melepasi tapisan keselamatan, bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada sebarang jenayah, rasuah dan penglibatan dadah, selain perlu mempunyai tahap pendidikan yang minima, serta boleh membaca.

“Kita tidak mahu melantik ketua kampung yang  tidak tahu membaca, itu hanya akan memberi kesan buruk pada masa akan datang, memandangkan sebelum ini ada wakil ketua kampung yang tidak pandai membaca, jadi perkara itu akan kita elakkan.

“Apa yang pasti, mereka yang dilantik itu merupakan individu yang perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan jika terdapatnya unsur-unsur negatif sepanjang mereka bertugas, maka perkhidmatan mereka boleh ditamatkan dan digantikan dengan orang lain,” katanya.