JASIN - Seorang warga emas kecewa apabila hanya mengetahui berita mengenai kematian isteri yang sedang dirawat di Hospital Daerah Jasin, selepas lebih tujuh jam wanita itu meninggal dunia.

Zakaria Siman, 61, mendakwa, isterinya, Roslin Anuar, 57, mula dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 12.30 pagi, Selasa lalu ekoran masalah ketumbuhan pada otak.

Menurutnya, dia terkejut sebaik datang menziarahi isteri pada waktu lawatan jam 12.30 tengahari, pihak hospital memaklumkan bahawa isteri sudah meninggal dunia dan disahkan kematiannya pada jam 5.10 pagi.

"Saya benar-benar kecewa kerana tiada seorang pun menghubungi saya awal-awal, padahal ketika isteri saya dibawa menaiki ambulans, pihak berkenaan ada mengambil nombor telefon bimbit saya dan ketika membuat pendaftaran pihak hospital ada ambil nombor telefon saya. Ketika di wad pun, doktor ada ambil nombor saya.

"Tetapi bila saya datang ke hospital jam 12.30 tengahari, saya lihat katil isteri sudah dikosongkan, bila bertanya, mereka kata isteri pagi tadi sudah meninggal dunia, saya sedih dan terkejut," katanya.

Zakaria mengadukan perkara tersebut kepada Pengerusi Biro Kebajikan, Pembangunan Masyarakat (Pusat Khidmat Masyarakat) Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka, Amir Hamzah Aziz yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Chin Chin di sini, hari ini.

Turut sama, Ahli Lembaga Pelawat Hospital Jasin, Ahmad Baharuddin dan Ketua Umno Cawangan Kampung Chin Chin Mustafa Baharom.

Ujar Zakaria lagi, isterinya mula mengalami penyakit ketumbuhan otak dan menjalani rawatan sejak 1986 lagi namun keadaannya bertambah lemah sejak tiga tahun lalu.

"Sejak 2015, arwah isteri tidak lagi melakukan kerja-kerja berat dan segala urusan rumah semuanya saya yang lakukan di samping saya mencari rezeki hasil kerja-kerja kampung dan tinggal menumpang di sini di atas tanah kebun milik seorang kawan sejak lapan tahun lalu.

"Isteri seorang wanita yang baik bagi saya dan sukar dicari ganti. Sebelum kematiannya, arwah ada berpesan sekiranya dia pergi dahulu, dia minta saya supaya sering menjenguk ibunya yang sudah tua berusia lebih 70 tahun dan tinggal di Merlimau," katanya.

Sementara itu, Ahmad Baharuddin berkata, pihaknya akan membawa isu tersebut ke mesyuarat Ahli Lembaga Pelawat Hospital Jasin dan akan meminta pihak berkenaan melakukan siasatan terhadap dakwaan warga emas terbabit.