SEREMBAN –  Dua individu yang didakwa cuai menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar dan dua lagi cedera dalam kejadian  Februari lalu, telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan, Izani Mohd Zain berkata, kedua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 pada 9 Julai lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Maimoonah Aid.

“Tertuduh pertama didakwa kerana gagal menyelia penggunaan traktor pemotong rumput, manakala tertuduh kedua gagal menyediakan prosedur kerja selamat penggunaan traktor pemotong rumput dalam kejadian 13 Februari lalu.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar maut terkena bilah pisau mesin rumput ]

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi  setiap pertuduhan.

“Tertuduh yang diwakili peguam kemudian dibebaskan dengan jaminan RM10,000 selepas mengaku tidak bersalah,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian tersebut, seorang pelajar perempuan maut, manakala dua rakannya cedera akibat terkena bilah traktor mesin rumput yang terpelanting mengenai mangsa dalam kejadian jam 10.30 pagi di SMK Tuanku Abdul Rahman.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superitendan Hamazah Abd Razak berkata, dalam kejadian itu, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kepalanya terpotong dua dipercayai terkena bilah berkenaan.

Katanya, dua pelajar cedera ringan adalah Abdullah Hazlan,14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam,13.