SEREMBAN - Kes keganasan terhadap wanita di Negeri Sembilan, dianggap tenat apabila merekodkan secara purata setiap hari satu atau dua kes yang dirujuk di Hospital Tuanku Jaafar di sini, melibatkan 90 peratus mangsa kanak-kanak perempuan hingga wanita dewasa.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, data diambil daripada kes dilaporkan di Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC)yang juga merekodkan 137 kes mangsa remaja dan kanak-kanak dengan 52 peratus daripadanya melibatkan jenayah fizikal.

“Daripada 151 kes wanita dewasa, 87 peratus daripadanya adalah mangsa keganasan rumah tangga. Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing termasuklah melindungi diri sendiri serta mampu mengambil tindakan wajar sekiranya mengetahui kes keganasan atau jenayah berlaku dalam kalangan anda.

“Tindakan proaktif dalam kalangan masyarakat mampu melindungi ahli keluarga, jiran dan komuniti daripada menjadi sebahagian daripada statistik,” katanya ketika berucap merasmikan program ‘Hentikan Keganasan, Hormati Wanita’ di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita sebagai salah satu cara mendidik masyarakat mempunyai rasa tanggungjawab berhubung isu keganasan terhadap golongan wanita.

Sementara itu, Nicole berkata, kesedaran dan kefahaman terhadap kesaksamaan gender perlu diterapkan agar melalui pemahaman tersebut, isu keganasan terhadap wanita dapat dibendung.

“Mengapa kefahaman terhadap kesaksamaan gender ini perlu? Ia meletakkan keupayaan setiap individu tanpa mengira jantina dan apabila setiap individu memperoleh peluang tanpa sekatan budaya, ekonomi dan sosial, maka setiap orang akan mampu memperjuangkan hak diri masing-masing.

“Bagaimanapun, pada masa sama kita juga harus sentiasa waspada dengan jenayah jalanan yang tidak pernah diduga dan diharapkan pengisian program ini mampu mendedahkan kepada semua terhadap risiko ancaman terhadap wanita serta pelan tindakan pencegahan untuk meningkatkan peluang anda terselamat daripada menjadi mangsa,” katanya.

Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita yang menjadi sebahagian kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender di seluruh dunia bagi menentang keganasan terhadap wanita dan perempuan. - Bernama