PORT DICKSON - Polis mengklasifikasikan penemuan mayat seorang juruteknik pergigian Klinik Kesihatan Port Dickson sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Zainudin Ahmad berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian Mahussin Rahim,28, adalah disebabkan kecederaan parah di muka dan kepala akibat hentakan dengan objek keras.

Menurutnya, polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali suspek.

"Siasatan polis kini menjurus ke arah itu," katanya.

Terdahulu, mayat Mahussin ditemui di rumahnya di tingkat empat Kuaters Kakitangan Klinik Kesihatan di Lukut jam 8.30 pagi tadi oleh rakannya selepas mendapati dia tidak hadir kerja sejak Jumaat lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Juruteknik pergigian ditemui mati]