MELAKA TENGAH - Kes jangkitan HIV mencatatkan penurunan kepada 61 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 74 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Low Chee Leong berkata, 80 peratus jangkitan itu dimonopoli dan disebabkan amalan seks bebas dan selebihnya faktor lain termasuk berkongsi jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah.

Menurutnya, sejak 1988 hingga 2017 sebanyak 1,138 orang yang terlibat HIV dan kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menurunkan jumlah, sekali gus mencapai objektif menuju negara bebas HIV 2030.

“Daripada kes yang dicatatkan jumlah itu termasuk lapan lelaki nisbah seorang wanita.

“Walaupun kes dilihat mendatar namun sejak lima tahun kebelakangan ini jumlah kes disebabkan amalan seks bebas menunjukkan peningkatan dan perkongsian jarum suntikan menunjukkan penurunan,” katanya.

Chee Leong berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan ‘Cities Getting To Zero HIV 2018' di Holiday Inn Banda Hilir, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman dan Ketua Sektor HIV/STI dan Hepatitis C, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Anita Suleiman.

Jelasnya, Melaka dipilih sebagai bandar pertama untuk menerajui inisiatif itu ke arah merealisasikan matlamat jitu itu.

Bagaimanapun, katanya, matlamat tak akan dicapai tanpa kerjasama semua pihak berkaitan.

“Usaha ke arah pelaksanaan itu perlu disokong dengan komitmen yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak.

“Saya melihat konsep dan sasaran itu juga perlu diterapkan dalam pelan pembangunan dan operasi sebuah bandar yang mampan demi memastikan kelestarian sebuah bandar sejahtera,” katanya.

Sementara itu, sebuah buku Pelan Tindakan Cities Getting To Zero HIV 2018 turut dilancarkan.

Buku itu telah diedarkan kepada beberapa agensi dan jabatan di negeri ini agar kesedaran HIV dapat diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi.