SEREMBAN - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Negeri Sembilan mula menunjukkan perkembangan positif apabila menurun sebanyak 50 kes pada minggu ke-35 berbanding minggu ke-34 iaitu sebanyak 96 kes.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, buat masa ini, tiada lagi tadika, taska atau prasekolah yang ditutup disebabkan HFMD.

"Secara kumulatif jumlah premis yang ditutup sehingga 27 Ogos lalu ialah 51 iaitu 24 taska, 23 tadika atau pra-sekolah, tiga pusat jagaan harian dan satu sekolah swasta.

"Manakala taburan kes mengikut daerah adalah 1, 675 kes di Seremban, (201) Port Dickson, (185) Jempol, (124) Kuala Pilah, (105) Rembau, (79) Jelebu dan (61) Tampin," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, untuk rekod, sehingga minggu ke-35, sebanyak 2,430 kes dilaporkan berbanding 662 kes pada tempoh sama tahun lalu iaitu meningkat 267 peratus.

Selain itu katanya, sebanyak 12 sesi Town Hall Metting(THM) kepada pengusaha dan guru taska, tadika atau prasekolah serta ekolah kerajaan dan swasta telah diadakan di negeri ini melibatkan seramai 909 premis dengan 1,310 peserta.

"Manakala 12 buah premis telah dilawati bagi menerangkan lima perkara utama pencegahan HFMD," katanya.