SEREMBAN – Tindakan bersepadu melibatkan pelbagai agensi dan masyarakat dalam  membanteras denggi di negeri ini telah menunjukkan kesan positif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainuddin Mohd Ali berkata,  jika pada awal tahun sehingga Jun lalu, sebanyak 70 hingga 120 kes direkodkan setiap minggu  berbanding sekarang iaitu antara 30 kes sahaja.

Menurutnya, dari Januari hingga September ini hanya 11 kematian direkodkan akibat denggi di mana jumlah itu menurun berbanding tahun lalu.

“Ia menunjukkan penurunan yang mendadak dan mula dilihat sejak Mei lalu. Harapnya kita dapat mengekalkan rekod ini sehingga hujung tahun kerana tidak lama lagi akan masuk musim tengkujuh dan ia boleh mengundang kepada pembiakan nyamuk aedes.

“Awal tahun ini terdapat 11 lokasi panas denggi, terutamanya di Seremban dan sekarang kita telah pun mengambil pelbagai langkah membebaskan semua kawasan itu daripada pembiakan nyamuk aedes,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, isu terbesar yang membelenggu daerah Seremban sehingga membawa kepada pembiakan nyamuk aedes ialah kawasan lapang terbiar dan kawasan takungan air.

Zainuddin berkata, kesemua tapak binaan yang didapati mempunyai pembiakan akan didakwa di mahkamah dan boleh dihukum mengikut Seksyen 23 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1957, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tiada cara lain untuk hapuskan denggi melainkan peranan masyarakat sendiri untuk banteras dan musnah tempat pembiakan.

“Lakukan aktiviti gotong-royong secara berkala dan tubuhkan pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI). Pihak berkuasa tempatan (PBT) pun memberi sokongan sepenuhnya jika penduduk nak adakan gotong royong di mana ada bantuan kewangan diberi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.